Friday, February 27, 2009


SEJARAH PERJUANGAN AS-SUNNAH DI PERLIS.

Sejarah perjuangan As-Sunnah di Perlis telah bermula seawal lebih kurang pada tahun 1915. Ulama pertama yang dapat di ketahui membawa ajaran As-Sunnah di Perlis adalah Syeikh Hassan bin Ahmad. Di dalam kajian sejarah As-Sunnah di Perlis, Syeikh Hassan atau di kenali juga dengan nama Hassan Surabaya adalah pengasas perjuangan As-Sunnah di Perlis. Beliau berasal dari Surabaya dan di percayai datang ke Perlis lebih kurang pada tahun 1915. Beliau mengembangkan ajaran Islam menurut As-Sunnah pada peringkat awal di kawasan Arau, Perlis. Di antara anak murid beliau adalah Yang Mulia Tengku Adnan bin Tengku Yahya, Haji Mat Hakim, Pak Pilus, Haji Dahaman, Arshad Leh, Pak Wan Ahmad dan banyak lagi nama-nama lain, yang telah di beri petunjuk oleh Allah, untuk menerima kebenaran As-Sunnah. Syeikh Hassan Surabaya, menghadapi berbagai tentangan di dalam menyampai Manhaj As-Sunnah di Perlis, beliau biasa diusir dari Perlis dan membawa diri serta keluarganya ke Pulau Pinang dan berusaha mengembangkan As-Sunnah di sana.

Beliau tidak patah semangat untuk berjuang menegak kebenaran As-Sunnah dan lebih kurang pada tahun 1928, beliau kembali ke Perlis dan menetap di kampung Paya untuk meneruskan perjuangan As-Sunnah di Perlis. Di antara ajaran As-Sunnah yang dibawa oleh Hassan Surabaya adalah tidak ada talkin untuk orang mati, tidak ada bacaan 'usalli' di permulaan solat, ilmu tauhid, menentang amalan azan untuk mendirikan rumah, membasmi kepercayaan kurafat dan bid’ah, menentang kenduri arwah dan lain-lain amalan yang tidak bersumberkan dari Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Pada lebih kurang tahun 1937 maka terbinalah madrasah As-Sunnah yang pertama yang di beri nama Madrasah Alor Sena hasil usaha pengikut pengikut As-Sunnah di kawasan kampung Paya dan di bantu oleh adikong Raja Syed Alwi yang bernama Datuk Wan Ahmad atau di kenali sebagai Pak Wan Ahmad.

Datuk Wan Ahmad adalah salah seorang anak murid Syeikh Hassan Surabaya. Beliau merupakan seorang yang mempunyai pendirian dan semangat juang yang kukuh untuk mengembangkan As-Sunnah di Perlis. Keazamannya adalah sangat cekal malah beliau merupakan salah seorang yang terlibat secara langsung di dalam menyemarakkan semangat pengikut fahaman As-Sunnah di Perlis, agar terus berjuang menghadapi tentangan golongan ahli bid’ah atau kaum tua yang pada ketika itu memulau malah ada yang mengkafirkan perjuangan As-Sunnah. Syeikh Hassan Surabaya kemudiannya meneruskan perjuangan As-Sunnah ke Bangkok, Thailand. Dari Thailand beliau ke Pulau Pinang dan meneruskan perjuangannya di sana. Beliau meninggal dunia di Pulau Pinang di dalam keadaan tidur setelah selesai solat hari raya.

Seorang guru bernama Shukor bin Mat yang telah membuat penyelidikan tentang sejarah As-Sunnah di Perlis sehingga beliau menerbitkan sebuah buku yang sangat bernilai kepada generasi muda kini, tentang betapa pahit maung perjuangan generasi lampau untuk menegakkan As-Sunnah di Perlis. Semoga Allah memberkati usaha murninya itu, di antara penemuan dari kajian beliau adalah pengikut As-Sunnah pertama yang meninggal dunia di Perlis bernama Pak Mat Biola. Jenazahnya dikebumikan dengan menggunakan papan sekeping dan tidak ditalkinkan. Peristiwa ini telah menjadi cemuhan kepada golongan ahli bid’ah atau kaum tua, mereka mengatakan orang yang mengikuti fahaman As-Sunnah menguruskan janazah sebagaimana menanam bangkai lembu iaitu tidak di talkinkan.

Diantara tokoh As-Sunnah di peringkat awal perjuangan As-Sunnah di Perlis adalah Abdul Manaf bin Abdullah atau di kenali juga sebagai Lebai Kecik. Beliau juga adalah perantau dari tanah seberang iaitu dari kampung Kemantan Darat, Padang Sumatera. Beliau di percayai datang ke Perlis lebih kurang pada tahun 1930. Beliau pada awalnya adalah dari kalangan golongan bid’ah, tetapi setelah bertemu dengan keterangan dari Al-Quran dan hadits yang sah untuk di buat dalil, beliau kemudiannya telah menjadi penentang kepada amalan bid’ah dan menjadi seorang pejuang As-Sunnah. Di antara rujukannya adalah sebuah kitab Bandung yang bernama Al-Fatwa. Beliau di katakana tokoh As-Sunnah kedua selepas Syeikh Hassan Surabaya. Beliau meninggal dunia dalam usia 60 tahun iaitu lebih kurang tahun 1946. Jasanya di dalam memperjuangkan As-Sunnah di Perlis tidak sedikit sehingga berjaya menambah bilangan pelajar yang bermanhaj As-Sunnah dan mengukuhkan lagi pergerakan menentang kurafat, syirik dan bid’ah di Perlis. Di antara muridnya yang terkenal adalah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Jaafar Hassan. Semoga Allah mencucuri rahmat keatasnya.

Tokoh sezaman dengan Lebai Kecik adalah Haji Abdul Ghani bin Datuk Sakti, beliau juga adalah anak murid kepada Syeikh Hassan Surabaya. Anak kelahiran Kampung Rumbai, Bukit Tinggi Sumatera dan biasa mendapat pendidikan agama di Sumatera Barat. Beliau aktif mengajar agama di madrasah-madrasah, baik di kampung mahupun di bandar di sekitar Perlis. Beliau memegang berbagai jawatan semasa hidupnya seperti imam dan amir zakat di kawasan kariah Masjid Abi, Perlis, Ahli Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Perlis dan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis. Beliau adalah seorang ulama As-Sunnah yang sangat kukuh pendiriannya di dalam memperjuangkan kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah. Beliau juga telah menganti tempat Syeikh Hassan Surabaya mengajar di Madrasah Alor Sena apabila Syeikh Hassan pulang ke Pulau Pinang dan Haji Abdul Ghani juga berganding bahu bersama Datuk Wan Ahmad dan berhubung rapat dengan tokoh As-Sunnah terkenal Syeikh Tahir Jamaluddin dan A.Hassan Bandung. Beliau telah meninggal dunia di dalam usia lebih kurang 75 tahun.

Nama Syeikh Abu Bakar As-Shaari adalah di antara tokoh ulama As-Sunnah yang tidak dapat dipisahkan di dalam perjuangan As-Sunnah di Perlis. Beliau antara ulama yang berpendidikan tinggi, bermula dari Sekolah Melayu, Sekolah Anglo Chinese School Pulau Pinang, Madrasah Al-Mashur sehinggalah ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1925-1932. Beliau turut memegang jawatan penting di Perlis seperti Imam Besar Masjid Alwi (1939), Ahli Jawatankuasa Zakat dan Fitrah Perlis, ketokohan beliau di dalam mengarang amat menonjol. Di antara sumbangan beliau di dalam bidang penulisan adalah, menjadi pengarang Majalah Seruan Azhar 1928, penulis untuk akhbar ‘SAUDARA’, pengarang kitab As-Sunnah seperti, Intisari Taksir Juzuk Amma, Sejarah Al-Anbiya, Pedoman Ibadat Rasulullah dan lain-lainnya. Perjuangan beliau menegakkan As-Sunnah tidak sunyi dari tentangan dan fitnah. Tetapi Syeikh Abu Bakar adalah seorang ulama As-Sunnah yang cekal dan tegas pendiriannya. Perjuangan murninya telah berjaya menyemarakkan lagi kebangkitan As-Sunnah di Perlis dan gandingan beliau bersama tokoh-tokoh As-Sunnah sezaman dengannya menyebabkan golongan ‘kaum tua’ menjadi gerun dan terhimpit dengan kebangkitan golongan As-Sunnah. Syeikh Abu Bakar As-Shaari lahir pada tahun 1903 di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan telah meninggal dunia di Port Dickson semasa dalam perjalanan ke Madrasah As-Sunnah Kuala Pilah pada tahun 1970.

Seorang ulama yang bersama-sama menyemarakkan perjuangan As-Sunnah di Perlis adalah Fakih Sidin bin Marusa. Sekadar maklumat yang di dapati, beliau di percayai anak kelahiran Sumatera dan biasa berguru dengan ulama besar Indonesia iaitu Prof. Dr. Karim Amirullah atau lebih dikenali sebagai Hamka. Antara kitab yang di gunakan untuk mengajar As-Sunnah adalah Kitab Al-Fatwa karangan A.Hassan Bandung dan Al-Umm di dalam bahasa Arab dan selain mengajar agama beliau juga berguru dengan Syeikh Noor Al-Sururi. Beliau gemar berbincang untuk memperjelaskan permasalahan agama yang di raguinya, seorang ulama yang bersifat sederhana dan tidak sombong dalam menyampaikan dakwahnya.

Seorang lagi tokoh As-Sunnah yang sangat di kenali pada era kegemilangan As-Sunnah adalah ustaz Abdul Rahman bin Ismail. Beliau bertubuh kecil, tetapi sangat lantang dan berani di dalam memperjuangkan As-Sunnah. Beliau adalah antara tokoh As-Sunnah yang di geruni oleh golongan tua atau ahli bid’ah pada zaman kegemilangan As-Sunnah di Perlis iaitu sekitar tahun 1970-1985. Di lahirkan di Kampung Sena, Kangar Perlis dan mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kangar, Pondok Kampung Sena, Kangar, Sekolah Arab Al-Masyur, Pulau Pinang dan Sekolah Arab Alwiyah, Arau Perlis. Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting di negeri Perlis antaranya adalah menjadi Mufti Negeri Perlis pada tahun 1972-1984, Imam Besar Masjid Alwi dan pemangku Guru Besar Sekolah Arab Alawiyah Kangar.

Ustaz Abdul Rahman adalah di antara ulama As-Sunnah yang mengajar bahasa Arab dan mampu membaca kitab-kitab pengajian tinggi Arab Klasik. Kelantangan suaranya dan ketegasan di dalam menyampaikan khutbah Jumaat menyebabkan Masjid Alwi menjadi tumpuan orang ramai untuk bersolat Jumaat. Ada yang datang dari Padang Besar, Jalan Kaki Bukit dan lain-lain tempat di Perlis yang jauhnya berpuluh kilometer. Lazimnya pada sebelah pagi Jumaat orang ramai dari berbagai daerah di Perlis berduyun-duyun ke Mata Ayer untuk mengikuti kelas agama di Kampung Kersik iaitu di rumah Syeikh Noor dan apabila selesai kelas, ramai yang berhenti di Kangar untuk bersolat Jumaat di Masjid Alwi Kangar.

Perjuangan As-Sunnah di Perlis sejak dari zaman Syeikh Hassan Surabaya dan di sambung oleh generasi pelapisnya sentiasa berhubung rapat di dalam mengukuhkan ilmu dan perjuangan murni mereka. Ilmu tauhid, Iman dan ibadat adalah pelajaran wajib bagi golongan As-Sunnah di masa itu dan di antara tokoh As-Sunnah yang telah mengajar tauhid, iman dan ibadat secara terperinci dan dalam sekali kajian ilmunya berdasarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. adalah Syeikh Noor As-Sururi. Nama sebenar beliau adalah Ismail bin Mahmud. Di lahirkan pada tahun 1911, di Pulau Pinang dan beliau adalah dari keturunan Arab Hadramaut. Beliau menuntut di Mekah selama 8 tahun kemudian menuntut di Pusat Pengajian Tinggi Darul Hadith, Madinah selama 8 tahun. Beliau kemudiannya kembali ke Mekah dan bekerja sebagai Hakim Mahkamah Tinggi selama 8 tahun. Beliau terkenal dengan ketegasannya, ini terbukti apabila beliau meletak jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Mekah kerana tidak berpuashati dengan satu hukuman yang beliau yakin tidak adil. Beliau adalah seorang ulama yang pakar di dalam ilmu Al-Quran dan hadits, seorang tokoh As-Sunnah walaupun berasal dari Malaysia tetapi membesar di Arab Saudi dan mendapat pendidikan yang mendalam di dalam ilmu As-Sunnah.

Kehalusan ilmunya menyebabkan berlaku beberapa perbezaan pendapat di kalangan jemaah As-Sunnah di Perlis pada masa itu dan berterusan sehingga kini. Dan perbezaan ini semakin ketara apabila lahirnya beberapa pendakwah muda lulusan Madinah dan Jordan yang menyambung perjuangan As-Sunnah di Perlis. Tetapi bagi orang yang benar-benar memahami As-Sunnah perkara ini tidaklah menjadi masalah besar asalkan yang kita ambil itu adalah dalil yang kukuh dari Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi kita akan menghadapi masalah jika ilmu itu kita ambil di atas dasar percaya kepada ulama atau terpengaruh terhadap kepetahan kata-kata seseorang ulama sehinggakan kita tidak merujuk kekuatan dalil dengan cara sebenarnya (bersifat asal ada dalil kita terima). Jemaah As-Sunnah tidak cukup hanya menerima sesuatu itu atas dasar dalil semata-mata tetapi hendaklah kita berusaha merujuk dalil-dalil tersebut samada benar-benar kukuh atau lahir dari pegangan sesuatu mazhab, yang mana kukuh itu adalah menurut ulama-ulama mazhab tersebut dan bukan menurut himpunan dalil-dalil dari As-Sunnah secara keseluruhannya.

Syeikh Noor As-Sururi mendidik anak muridnya agar tidak bertaklied kepadanya tetapi berusaha memahami dalil atau nash yang diberikan. Lazimnya pada sesuatu masalah agama yang ada perselisihan para ulama ahli sunnah, Syeikh Noor akan menjelaskan satu demi satu sebab perselisihan itu lalu beliau memberi tahu sebab yang beliau berpendirian dengan salah satu pendapat serta apakah dalil-dalil yang kukuh yang menyokongnya dan apa sebabnya sesuatu pendapat lainnya menjadi lemah. Semua ini beliau lakukan agar anak muridnya tidak hanya mengikut apa yang di sampai oleh seorang ulama tetapi berusaha untuk memahami permasalahan dengan ilmu bukannya bertaklied. Di dalam mengembangkan perjuangan As-Sunnah walaupun di zaman kegemilangan, di mana telah timbul pengikut As-Sunnah di segenap penjuru negeri Perlis, Syeikh Noor tidak terkecuali menerima cabaran tentangan dari kalangan ‘kaum tua’, dengan menabur berbagai fitnah, cacian dan hinaan. Tempat pengajian As-Sunnahnya berpindah beberapa kali dari Mata Ayer ke Hutan Lembah dan akhirnya beliau menetap di Kampung Kerisik. Di Hutan Lembah beliau menjalankan pengajaran As-Sunnah dengan lebih tersusun dan apabila bertapak di Kampung Kerisik cara pengajarannya lebih bercorak kuliah kerana sambutan terhadap pengajarannya bertambah dari tahun demi tahun pada setiap pagi hari Jumaat hampir seribu anak muridnya berhimpun mendengar kuliahnya. Selain dari tempat yang di sebutkan di atas beliau juga biasa mengajar di Bohor Cicar, Bohor Latih dan Batu 5, Jalan Kuala Perlis. Di waktu itu sesiapa yang ingin mendalami secara lebih terperinci lagi tentang As-Sunnah, hendaklah datang secara bersendiri atau dengan jemaah yang kecil pada hari lainnya.

Dari Kangar anak-anak muridnya menaiki bas ke Kampung Kerisik dan apabila sampai ke Kampung Kerisik ada kalanya hanya tinggal pemandu dan penjual tiket bas sahaja kerana yang ramai itu ialah orang yang datang kekelas As-Sunnah di rumah Syeikh Noor As-Sururi.Dua buah bas pada waktu pagi Jumaat itu lazimnya di penuhi oleh sebahagian besar anak muridnya, selain itu ada yang datang dengan kereta dan boleh di lihat deretan kereta yang panjang di sepanjang jalan kerumahnya. Dan di rumah Syeikh Noor inilah tempat pertama bertapaknya Persatuan Al-Islah Negeri Perlis. Beliau biasa di tamatkan tauliah mengajarnya dan perjuangan As-Sunnah yang di kembangkan oleh Syeikh Noor ditentang serta di ragui oleh banyak pihak, antara sebabnya adalah kehalusan cara beliau mengajar atau mengeluarkan nash dan luasnya ilmunya di dalam As-Sunnah. Beliau adalah salah seorang ulama yang paling tinggi pengajiannya di kalangan para ulama As-Sunnah di Perlis pada masa itu, beliau juga adalah seorang mufassirin dan muhadissin. Hasil perkahwinan Syeikh Noor dengan isterinya Fatimah binti Hat telah di kurniakan tiga orang anak; seorang lelaki dan dua orang perempuan. Beliau adalah pengasas Persatuan Al-Islah Negeri Perlis dan sumbangannya di dalam meningkatkan perkembangan As-Sunnah di Perlis merupakan sumbangan yang sangat besar. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1984 pada usia 73 tahun dan di semadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Mengulang, Perlis. Semoga Allah merahmatinya dan meletakkannya bersama golongan orang-orang yang soleh.

Sebenarnya sangat banyak ulama yang menyumbang kepada perkembangan As-Sunnah di Perlis, di antaranya ada yang tidak di ceritakan di sini secara terperinci tetapi insyaAllah akan di usahakan agar dapat di bukukan sejarah perjuangan mereka sebagai panduan kepada ulama-ulama muda di dalam mengharungi samudera perjuangan As-Sunnah di Perlis, juga sebagai satu pedoman kepada perjuangan As-Sunnah di tempat lainnya. Semoga dari kisah perjuangan mereka dapat kita mengambil tauladan dan sempadan di dalam meneruskan perjuangan yang murni ini. Nama-nama seperti Abu Bakar bin Taib (1889-1969) ayah kepada bekas T.B. En. Khazim bin Abu Bakar dan Ustazah Norhiyah binti Abu Bakar, Syeikh Ahmad bin Mohd Hashim (1896-1980) bekas Menteri Besar Perlis yang pertama (Mei 1959—Dis 1971), Ahmad bin Muhammad (1885-1964) kelahiran Mekah, tokoh As-Sunnah yang memegang berbagai jawatan penting di Perlis, ustaz Abdullah bin Mat Ali, Ustaz Abdul Razak bin Abdul Rahman, Ustaz Yusuf bin Hamid, Ustaz Bakar (Bomba) dan banyak nama-nama lain yang telah banyak menabur jasa sehingga kebangkitan As-Sunnah menyemarak di negeri Perlis.

Dan salah seorang tokoh yang masih berjuang secara aktif sehingga kini dan masih sihat serta cekal perjuangannya adalah Profesor Madya Datuk Alim Setia ustaz Ahmad bin Yusof Amin atau di kenali juga dengan gelaran Ahmad Libya. Beliau seorang yang berpendidikan tinggi dan bersifat sederhana serta sentiasa berusaha untuk memajukan perjuangan As-Sunnah di Perlis. Beliau adalah Rektor Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis, bekas pensyarah ITM cawangan Sabah, bekas pensyarah ITM Arau, Perlis, ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan sekarang beliau menjadi Yang Di Pertua Pertubuhan Al-Islah Negeri Perlis. Datuk Ahmad adalah seorang ulama yang suka mendampingi anak muda dan sangat mementingkan penyertaan mereka di dalam perjuangan As-Sunnah.

Walaupun beliau berpendidikan tinggi dan seorang bergelar Dato’, sifat bertolak ansur dan kesederhanaannya amat menonjol, sehingga beliau di sukai oleh golongan anak muda dan mudah di dampingi. Sebagai seorang ulama As-Sunnah beliau tidak lepas dari tentangan dan fitnah, namun itu semua tidak pernah menjadi halangan bagi beliau untuk terus memperjuangkan As-Sunnah. Perjuangan As-Sunnah di Perlis telah mengalami beberapa peringkat perkembangannya semenjak zaman awal sehinggalah sekarang ia telah teruji dengan berbagai tentangan dan cabaran. Tetapi setelah kejayaan dan kegemilangannya, perjuangan As-Sunnah di Perlis sekali lagi di gegarkan dengan kemasukkan tokoh-tokoh muda yang cuba menyampaikan dakwah As-Sunnah di Perlis, kebanyakan mereka dari luar Perlis seperti Pulau Pinang, Perak dan Kedah. Tetapi kerana kurang pengalaman dan tidak memahami sejarah perjuangan As-Sunnah di Perlis, perjuangan mereka selain dari menyampaikan As-Sunnah telah juga menyebabkan perpecahan yang besar di kalangan jemaah As-Sunnah terutamanya bagi yang baru berjinak dengan As-Sunnah.

Kaul-kaul (pendapat) yang telah di bincangkan dan telah di selesaikan dengan bijaksana oleh golongan As-Sunnah terdahulu telah di ungkit semula. Maka terjadilah perselisihan sesama As-Sunnah dan sekian banyak jemaah As-Sunnah telah mengambil pendirian memencil diri dengan cara membuka kelas kelas pengajian sendiri yang pelajarnya adakalanya keluarga sendiri atau kawan rapatnya. Mereka bertindak demikian kerana tidak mahu keliru dan tidak dapat menerima hujah-hujah dari ulama muda yang agak longgar dan adakalanya hujah tersebut lebih berpihak kepada mazhab dari kekuatan dalil berdasarkan Al-Quran dan hadits. Sepatutnya golongan ulama muda As-Sunnah, setelah mendalami pengajian As-Sunnah di Madinah atau Jordan, apabila pulang ke Perlis atau datang ke Perlis mengkaji terlebih dahulu kaul-kaul yang ada di Perlis dan kajian itu hendaklah di buat dengan hati yang terbuka untuk menerima kebenaran berdasarkan nash yang sahih dan jangan sekali-kali terikat dengan rentak pengajian yang telah kita pelajari. Sesungguhnya tidak semesti apa yang kita pelajari di tanah Arab itu betul belaka dan tidak semestinya ilmu As-Sunnah yang telah berkembang di Perlis ini lemah dan meragukan.

Jika dikaji kemasukan As-Sunnah di Perlis, ia telah melalui beberapa peringkat perkembangannya. Dan tidak sedikit ulama-ulama yang berpendidikan di dalam ilmu Al-Quran dan hadits yang telah menyumbang jasa di dalam memperhaluskan perjuangan murni ini. Oleh yang demikian kedatangan ulama-ulama muda untuk mengubah beberapa keputusan yang telah menjadi pendirian As-Sunnah di Perlis perlu kepada perbincangan yang adil. Kerana tokoh-tokoh As-Sunnah tidak semestinya mereka yang hanya berada di dalam Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis sahaja, itu adalah segolongan kecil dari As-Sunnah. Sebenarnya di Perlis ini terdapat berpuluh-puluh tokoh As-Sunnah lainnya yang masing-masing ada pengikut atau setidak-tidaknya ada kumpulannya sendiri. Apabila kita tidak membuat sesuatu keputusan dengan muzakarah yang menyeluruh dan tidak memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan apa yang mereka yakin berdasarkan nash yang mereka pelajari, maka perpecahan dan tentangan sesama As-Sunnah akan berlaku dan inilah yang telah terjadi sekarang ini.

Ulama-ulama muda As-Sunnah hendaklah mengkaji dengan teliti pendirian mereka dari ilmu yang mereka pelajari. Tidak ada yang sempurna kecuali apa yang di bawa oleh Rasulullah saw. sehinggakan para sahabat baginda juga tidak terlepas dari membuat kesilapan. Oleh yang demikian sifat ingin menyampai dan mematahkan hujah hanya pada dasar ilmu kita tanpa mahu mengambil dan memahami dalil dari pihak lain adalah satu kekeliruan yang nyata dan ianya tidak akan menyebabkan kekuatan ummah tetapi hanyalah menyumbang kepada pepecahan As-Sunnah.